Wednesday, 7 December 2011

Penebang pokok dan kapak tumpul

0 comments
AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.

Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.

“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.

Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.

Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.

“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.

Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.

Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?”

“Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu.

“Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.

“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!” perintah majikan.

Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.

Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar. Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.

Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.

Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.

Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.

Renung-renungkan...

Monday, 5 December 2011

Muhasabah diri capai kehidupan lebih cemerlang

0 comments
1 Muharam detik untuk umat Islam tingkat pencapaian, mampu perbetul kesilapan

Assalamualaikum warahmatullah,

JIKA sambutan tahun baru masihi sering dikaitkan dengan azam atau perancangan ingin dilakukan sepanjang tahun mendatang, kedatangan 1 Muharam sebagai permulaan tahun baru hijrah pula ialah menilai pencapaian tahun sebelumnya untuk tindakan penambahbaikan pada masa depan. Proses dinamakan muhasabah itu menjadi titik memulakan langkah meningkatkan pencapaian diraih tahun sebelumnya dan bagaimana untuk berdepan tahun selepas ini ke arah membina kehidupan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berkata, muhasabah memerlukan umat Islam merenung, berfikir, seterusnya melakukan perubahan yang memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri tetapi juga pihak lain. Apabila melihat keperluan diri, manusia selalu bersikap meminta-minta dan bertanyakan apa orang lain perlu lakukan untuk mereka bukan menyoal diri apakah yang boleh dilakukan dalam bidang kuasa kita.

“Selalunya apabila kita menilai, kita selalu melihat apa orang lain perlu buat untuk kita tetapi muhasabah ialah menilai apa yang boleh kita lakukan demi kebaikan semua. Ini semangat hijrah atau perpindahan yang sepatutnya ada pada umat Islam. Kita sepatutnya melihat sama ada kita sudah memainkan peranan sebaiknya. Jika sudah lakukan dengan baik, maknanya tahun depan kena tambah supaya jadi lebih baik lagi. Jika tahun ini kurang melakukan perkara baik, maka tahun depan kena banyakkan perkara kebaikan,” katanya.

Justeru, muhasabah bukan melihat kepada aspek spiritual saja sebaliknya ia menjadikan umat Islam tergolong dalam kumpulan profesional yang mampu melakukan peranan serta fungsi dengan sendirinya. Sifat profesionalisme akan melahirkan insan berdikari, tidak memerlukan pihak lain mengawasi atau memantau untuk memastikan mereka boleh melakukan sesuatu dengan baik seperti berlaku sekarang ini. Umat Islam yang dikategorikan profesional ialah mereka yang melakukan muhasabah, membuat pengawalan diri dan apabila menyedari kesilapan, mampu pula membuat pembetulan sendiri.

“Profesional bukan bermakna dia bekerja dalam bidang dikategorikan sebagai profesional. Dia mungkin kerja sebagai tukang cuci saja tetapi masih boleh memiliki profesionalisme kerana mampu melakukan tugas dengan baik. Walaupun tiada ketua atau penyelia, dia masih tetap melakukan kerja penuh tanggungjawab. Bukan apabila ada bos baru buat kerja. Apabila bos tidak ada, dia bedal semua. Profesional ialah yang boleh lakukan kerja tanpa perlu dipantau dan jika ada kesilapan, boleh betulkan sendiri,” katanya.


Menurut beliau, dunia akan menjadi lebih baik jika semua orang mengamalkan sifat profesionalisme dalam hidup dan itu sepatutnya menjadi agenda umat Islam sempena kedatangan 1 Muharam 1433 Hijrah yang diraikan hari ini.

Mengambil contoh amalan rasuah, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan jika tiada pemberi rasuah maka tidak berlaku jenayah rasuah kerana soalnya ialah sama ada seseorang itu hendak menerima atau tidak rasuah kerana ada yang tidak diberi tetapi dia meminta rasuah.

Bagi suami pula katanya, hidup berkeluarga tidak sama seperti hidup orang bujang dan jika masih hendak mengekalkan gaya hidup seperti orang bujang, maka mereka akan gagal mencapai profesionalisme diharapkan daripada seorang suami atau bapa.

Oleh itu, tidak kira apa peranan atau fungsi seseorang itu, hendaklah mencapai harapan diharapkan daripada mereka, baru hijrah memberi makna sebenar iaitu berpindah daripada tahap sekarang yang baik kepada lebih baik.

Bagi umat Islam, kayu pengukur untuk menentukan apakah azam ditanam bagi menghadapi tahun baru itu lebih baik ialah adanya makruf dan mungkar ditetapkan Allah berpandukan kepada al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW. Makruf amalan sesuai dengan fitrah manusia yang diciptakan Allah dan sesiapa melakukan makruf diberi ganjaran pahala. Manakala mungkar tidak selari fitrah manusia dan mereka yang melakukan perbuatan mungkar akan menerima balasannya.

“Allah yang menciptakan kita dan Allah tahu apa yang selari dengan fitrah manusia. Makruf akan jadikan manusia baik dan sebab itu mereka yang melakukan makruf mendapat pahala. Bagi yang melakukan mungkar, mereka merosakkan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu ada kemampuan melakukan muhasabah diri dan meningkatkan amalan makruf kerana jika semua manusia mengambil sikap seperti itu, dunia akan menjadi lebih baik. Bagaimanapun, tidak dinafikan untuk mencapai kehidupan masa depan yang lebih baik, manusia sentiasa berdepan cabaran besar iaitu bagaimana hendak menundukkan nafsu yang mendorong melakukan perkara mungkar.

Cara terbaik kembali kepada apa diperintahkan Allah kerana manusia mempunyai kuasa memilih sama ada melakukan perkara makruf demi kebaikan diri sendiri atau mengikut telunjuk nafsu yang akan menjadikan kita sebahagian daripada bahan bakar api neraka.

Petikan : BHarian 26/1/2011

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

Tuesday, 29 November 2011

0 comments

Pesanan Rasulullah buat puterinya Fatimah

"Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utus benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat."

"Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas takhta di hari akhirat."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya, maka Allah akan mencatatkan baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1,000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1,000 orang yang tidak berpakaian."

"Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya."

"Ya Fatimah, barang mana wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Sirat."
0 comments
Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra

"Ya Aisyah janganlah engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, iaitu :

1. Sebelum khatam Al Qur'an,
...
2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhir,

3. Sebelum para muslimin meredhai kamu,

4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah...

Bertanya Aisyah :

"Ya Rasulullah... Bagaimana dapat aku melaksanakan empat perkara dalam waktu yang singkat?"

Rasul tersenyum lalu berkata :

"Jika engkau tidur bacalah : Al Ikhlas tiga kali ia seakan-akan kau mengkhatamkan Al Quran.

Bacalah selawat untukku dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat.

Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredhai kamu.

Dan,
Perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah
.