AL-KISAH
pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan
daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji
dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan
menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang
ditentukan.
Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.
“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan
kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu
sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.
Pujian
daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan
kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi,
tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.
Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap
tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok
yang ditebangnya.
“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan
kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku
kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan
putus asa.
Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta
maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh
kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.
Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?”
“Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat
sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat
tenaga,” kata penebang itu.
“Nah, di sinilah masalahnya. Ingat,
hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu
mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.
“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak
yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin
menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk
mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang
sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera
kembali bekerja!” perintah majikan.
Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih,
penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.
Sebenarnya
betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi
untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar. Sama
seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam
hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.
Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat
iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk
menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal
matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan
sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah
mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.
Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu
yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal
Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita
sendiri.
Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita
lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi.
Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan
keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang
menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari
sebelumnya.
Renung-renungkan...
0 comments:
Post a Comment